Rukun Islam dan Rukun Iman

by Muhammad Faisal Adnan on September 5, 2012

Rukun Islam itu ialah,

1. Mengucap dua kalimah syahadah.
‘Aku bersaksi tiada Tuhan yang di sembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad pesuruh-Nya’. Pengertian syahadah ialah mengabdikan diri, hati serta pengakuan lidah bahawa tiada Tuhan yang Maha Esa melainkan Allah dan Nabi Muhammad adalah rasul-Nya.

2. Mengerjakan solat lima waktu sehari semalam.
Dengan mengerjakan solat kita telah menyerahkan seluruh jiwa raga meyembah Tuhan yang Esa di mulai lidah yang berzikir, tangan yang bergerak, mata, telinga dan fikiran yang berpusat dengan susunan rukun solat seperti yang diajarkan oleh Rasulullah.

3. Berpuasa di bulan Ramadhan.
Dengan berpuasa kita telah mengekang hawa nafsu serta segala keinginan terhadap makanan, minuman dan menjauhi semua larangan semata-mata kerana Allah untuk meningkatkan ketaqwaan kepada-Nya.

4. Mengeluarkan zakat.
Dengan mengeluarkan zakat kita telah menyerahkan sebahagian dari harta tersebut kepada mereka yang berhak menerimanya.

5. Menunaikan haji di Mekah.
Dengan menunaikan haji, kita telah melengkapkan diri sebagai seorang muslim. Segala kesusahan, dugaan dan cabaran yang ditempoh dengan rela hati dan sabar semuanya semata-mata kerana Allah.

Rukun Iman pula ialah,

1.  Beriman Kepada Allah

Dengan Iman kita membulatkan keyakinan dan menundukkan diri serta hati hanya semata-mata kerana Allah.  Secara positif kita menuju tauhid yang semurninya dan secara negatif menolak segala bentuk pemujaan kepada selain Allah s.w.t.

2.  Beriman Kepada Malaikat

Dengan iman kita mempercayai adanya makhluk ghaib yang bernama malaikat yang menjalankan tugasnya menurut perintah Allah.  Secara positif kita mempercayai kepada alam ghaib yang diberitakan oleh Allah dan secara negatif kita menolak segala bentuk benda ghaib yang tidak diberitakan oleh Allah.

3.  Beriman Kepada Kitab

Dengan beriman kepada kita suci kita mempercayai adanya kitab-kitab yang Allah turunkan kepada umat manusia melalui utusanNya masing-masing bagi memimpin manusia ke jalan yang selamat dan kitab suci ini diakhiri dengan kitab suci al-Quran.

4.  Beriman Kepada Nabi Dan Rasul

Dengan beriman kepada Nabi dan Rasul kita mempercayai adanya manusia polihan yang diutuskan oleh Allah untuk memberikan petunjuk yang diakhiri dengan Nabi Muhammad s.a.w.

5.  Beriman Kepada Hari Kiamat

Dengan iman kita mempercayai bahawa disebalik kehidupan di dunia yang fana ini masih ada lagi kehidupan yang abadi dan berkekalan iaitu suatu tempat penentuan kedudukan manusia sama ada di syurga atau neraka.

6.  Beriman Kepada Qada Dan Qadar

Dengan beriman kepada Qada dan Qadar, kita mempercayai bahawa di samping kita berusaha dan merancang akan kehidupan di dunia ini, Allah telah menentukan segala sesuatu itu dan terletak di dalam kekuasaanNya.

Comments

comments

{ 0 comments… add one now }

Leave a Comment

Next post: